Selasa, 28 Jun 2011

27 june 2011....



Tangisan bayi di celah semak

petikan dari harian kosmo..

BACHOK – Seorang lelaki terkejut apabila menemui bayi yang masih bertali pusat dibuang di dalam semak dalam kejadian di Kampung Pertama Machang di sini semalam.
Bayi lelaki itu ditemui pada pukul 11.30 pagi ketika Mohd. Satar Mohd. Ali, 49, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membaiki motosikal di pekan Jelawat dekat sini yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi bayi itu dijumpai.
Menurut Mohd. Satar, dia merasa pelik apabila terdengar bunyi tangisan bayi ketika melalui kawasan semak tersebut dan apabila ditinjau, dia terkejut melihat seorang bayi lelaki berada di dalam sebuah beg kertas di semak berkenaan.
“Sebaik membuka beg itu, saya nampak seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat di dalamnya. Saya terus berlari untuk memberitahu penduduk kampung sebelum bayi malang itu dipindahkan ke tempat redup.
“Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat dan sihat itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” ceritanya ketika ditemui semalam.

Bayi baru lahir dibuang dalam semak

petikan dari utusan malaysia..


KOTA BHARU 27 Jun - Kejam! Begitulah perkataan paling sesuai untuk menggambarkan mengenai ibu bapa yang tergamak membuang bayi mereka yang masih hidup di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Permatang Machang dekat sini, hari ini.
Mujurlah si kecil yang dalam keadaan masih berdarah di seluruh badan serta bertali pusat itu ditemui penduduk kampung, Mohd. Satar Mohd. Ali selepas terdengar rengekan bayi malang tersebut ketika melalui jalan itu pukul 11.30 pagi.
Ketika ditemui bayi seberat 2.8 kilogram itu diletakkan di dalam sebuah beg kertas sebelum dibuang di kawasan semak setinggi lebih satu meter dipercayai untuk mengelak orang ramai menemuinya.
"Saya berjalan kaki untuk balik ke rumah dari bengkel motosikal. Ketika lalu di kawasan itu tiba-tiba terdengar bunyi rengekan lalu saya segera memeriksa kawasan semak tebal itu.
"Saya memasuk semak dan terkejut kerana ia bunyi dari seorang bayi yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di tempat bayi itu dibuang dekat sini, hari ini.
Menurut Mohd. Satar, dia memanggil penduduk kampung dan bersama-sama mengeluarkan bayi itu dari semak sebelum menghubungi polis yang kemudian membawa bayi berkenaan ke Klinik Kesihatan Bachok sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim ketika dihubungi hari ini berkata, bayi tersebut berada dalam keadaan sihat dan kini dirawat di HRPZ II.
Katanya, polis menyiasat perkara tersebut mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.
"Polis masih mengesan ibu bapa bayi tersebut dan berharap ada pihak tampil memberikan maklumat untuk memudahkan lagi siasatan," jelas beliau.
Bayi bawah rumpun serai ...
petikan dari akhbar sinar harian...
 KOTA BHARU - Seorang bayi lelaki masih bertali pusat ditemui selamat di bawah rimbunan serai kayu berhampiran tali air di Kampung Permatang Machang, Jelawat, semalam.

Bayi seberat 2.8 kilogram berkenaan ditemui seorang penduduk berusia 29 tahun kira-kira jam 11.30 pagi semalam dipercayai ditinggalkan di kawasan semak dipercayai selepas dilahirkan beberapa jam sebelum itu.

Ia dikatakan diletakkan dalam beg kertas sebelum ditemui penduduk dan dipercayai baru dilahirkan kira-kira sejam sebelum ditinggalkan di tepi semak tersebut.

Bayi berkenaan juga bernasib baik kerana ia ditemui dengan segera dan sekiranya ditinggalkan dalam jangka yang masih lama kemungkinan akan mati kelemasan.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, bayi yang sihat tubuh badan tersebut dihantar ke sebuah klinik di Jelawat sebelum ia dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sejurus ditemui.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu supaya terus melaporkan di balai berdekatan dan kita kini masih mengesan ibu dan bapa kepada bayi ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di ketika melawat bayi berkenaan di HRPZ II semalam.

Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata, pihaknya menerima bayi berkenaan kira-kira jam 1.44 petang semalam di unit kecemasan sebelum di bawa masuk ke Wad 2 pada jam 4 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan awal pihak hospital mendapati bayi yang masih bertali pusat itu berada dalam keadaan baik, cukup sifat tanpa sebarang kecederaannya.

“Bayi ini akan berada di bawah pemerhatian pihak hospital sebelum menerima sebarang arahan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh mengesahkan kes tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...