Sabtu, 26 Mac 2011

Erti Kejayaan Seorang Wanita



Ada orang ketawa gembira apabila menerima sesuatu kejayaan. Ada yang senyum, ada yang berpesta. Ada yang agresif merusuh sana sini untuk tunjukkan kepada musuhnya, “Kami menang.” Tetapi amat sedikit yang benar-benar mendalami apa hakikat kejayaan sebenar yang patut dicapai oleh seorang wanita. Kejayaan disudut duniawi dan ukhrawi (akhirat). Ia boleh ditakrifkan dengan berbagai-bagai erti mengikut matlamat dan cita-cita hidup seseorang. Orang yang mengejar matlamat hidup duniawi menganggap kejayaan adalah apabila mereka dapat membina satu kehidupan yang materialistik yang ideal, iaitu yang serba sempurna. Ia merasa puas dengan nikmat kebendaan yang diperolehinya. Semakin banyak, semakin berjayalah dia.

Tetapi berbeza ukuran kejayaan bagi orang-orang yang memandang matlamat hidup disudut ukhrawi. Kejayaan mereka adalah apabila mereka dapat memperhambakan diri untuk Allah semata-mata kerana menuntut keredhaanNya. Proses ini dilalui dengan memiliki sifat takwa di dalam diri. Orang yang mengejar kejayaan duniawi semata-mata dengan mengabaikan kejayaan akhirat adalah tercela dan dilarang oleh agama atau syariat. Firman Allah:

“Buatkanlah perbandingan kepada mereka, kehidupan di dunia ini adalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, menjadi subur dengan tumbuh-tumbuhan di bumi dengan sebabnya, kemudian ia menjadi kering kerana dihembus angin dan Allah Maha Kuasa di atas segala sesuatu. Harta benda dan anak itu adalah perhiasan dunia dan amal perbuatan yang kekal lagi baik tentu lebih baik pahala di sisi Tuhanmu dan dilebih pula dicita-citakan.”
(al Kahfi: 45-46)

Rasullullah s.a.w bersabda:

“Kalau sekiranya dunia ini di sisi Allah sebanding dengan sayap nyamuk, atau dengan sayap burung, nescaya Allah tidak akan memberikan kepuasan minum kepada orang kafir dengan seteguk pun air dari dunia ini.”

Begitulah Rasulullah menerangkan tentang celanya dunia. Kalau ia bernilai, tentu Allah tidak memberi walau sedikit nikmat kepada orang-orang yang derhaka kepadanya. Sebab itulah tiada ertinya kita mengejar kejayaan duniawi semata-mata, tanpa memikirkan kejayaan di akhirat. Kejayaan duniawi adalah sementara yang mana tidak semua orang Allah izinkan untuk mencapainya. Sedangkan kejayaan akhirat itu adalah lebih kekal lagi abadi dan boleh dicapai jika kita bersungguh-sungguh melaluinya.

Ada wanita yang amat berbangga jika dia berjaya di dalam kerjayanya terutamanya jika kerjayanya itu mencabar, iaitu bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki. Wanita tersebut merasa berjaya jika mereka dapat memecahkan tradisi itu. Sebab itu tidak hairanlah kita lihat, ada wanita yang gigih berusaha untuk menjadi pemimpin sama ada pemimpin politik atau pemimpin persatuan, pertubuhan dan sebagainya. Maka timbullah wanita yang menceburi bidang ketenteraan, lakonan, gusti dan lain-lain yang setengahnya jelas bertentangan dengan sifat-sifat semula jadi seorang wanita, lebih-lebih lagi dengan syariat Islam yang maha suci.

Mereka merasa di situlah kejayaan di dalam hidup seorang wanita, apabila mereka berjaya di bidang-bidang tersebut. Mereka merasakan menceburkan diri ke dalam bidang-bidang tersebut, status wanita akan meningkat. Tetapi tanpa sedar, langkah mereka itu telah menjatuhkan maruah wanita itu sendiri. Melalui bidang pendidikan, ibu-ibu akan berbangga jikalau anak-anak memiliki jawatan tinggi, rumah besar, kereta berderet dan lain-lain kemewahan hidup. Pada mereka itulah kejayaan mendidik anak-anak. Tetapi adakah, anak-anak yang telah berjaya itu dapat memberikan kebahagiaan hidup kepada ibu bapanya nanti, lebih-lebih lagi kebahagiaan akhirat. Selalunya anak-anak yang telah berjaya dan dapat hidup mewah, akan menjadi sombong dan ego. Dan sesetengahnya lupa kepada orang tuanya dan yang lebih parah, lupa kepada Allah s.w.t. Itulah kebiasaannya walaupun bukan semua orang yang berjaya dan hidup di dalam kemewahan berkelakuan sedemikian. Di dalam kehidupan kita, jarang kemewahan dan kekayaan itu menjadikan seseorang itu rendah hati dengan Tuhannya.

Apabila anak-anak telah melupai ibu bapanya, bukan sahaja akan tersiksa di akhirat, malah di dunia ini lagi akan terasa tersiksa. Anak yang derhaka akan meragut semua kebahagiaan di hati ibu. Jikalau ini terjadi apalah ertinya anak yang berjaya dengan mempunyai segala kemewahan hidup tetapi miskin dengan akhlak dan budi pekerti. Kerana itu di dalam Islam, setiap anak itu harus diajar bersyukur dan ditunjangi hatinya dengan akidah yang kukuh, kerana apabila berjaya, anak itu tidak akan lupa kepada ibu bapa dan lebih-lebih lagi kepada Allah s.w.t. Yang sebenarnya nilaian kejayaan seorang ibu itu ialah apabila berjaya mendidik anak-anaknya cintakan kepada Islam, mengamalkannya, menghayati dan memperjuangkannya serta meletakkan ketaatan kepada Allah, Rasul dan ibu bapa itu satu keutamaan di dalam hidupnya. Inilah medan pendidikan bagi seorang ibu yang sangat besar dan di sinilah letaknya kejayaan seorang ibu.

Sesetengahnya berpendapat kalau dapat membina satu keluarga yang ideal, itulah kejayaan. Lumrahnya ukuran sebuah keluarga yang ideal adalah bila mereka dapat menyediakan segala kelengkapan rumah, alat-alat perhiasan, perabut dan lain-lainnya yang selalunya melebihi kadar keperluan dan kemudahan. Dengan kata yang lain, Sudah melampau-lampau sehingga ke tahap membazir. Setiap wang yang ada di tangan, akan difikirkan apa yang patut dibeli lagi untuk melengkapkan harta dan perhiasan di rumah. Sayangkan harta benda lebih dari anak. Harta biar banyak, anak seorang dua cukup. Kadang kala bila ditanya mengapa, mereka akan berkata:
“Kami terpaksa merancang keluarga untuk mengukuhkan kewangan rumah tangga. Masa banyak dihabiskan bekerja saban hari demi untuk mengumpul wang setiap bulan, hingga lupa tanggungjawab kepada ahli keluarga.

Oleh kerana itu, kasih sayang di dalam rumah tangga terkorban. Tiada lagi hubungan mesra suami isteri, pertautan hati retak, perhubungan diantara ibu bapa dan anak-anak renggang. Akhirnya masing-masing mencari jalan keluar sendiri di luar rumah. Rumah tangga menjadi porak peranda, apa yang dikejar tidak dapat dan dikendong berciciran. Ketika itulah, disudut hati seorang ibu akan timbul penyesalan. Harta dan semua kelengkapan yang mewah dan indah tiada ertinya lagi. Penat lelah selama ini hanya sia-sia. Kejayaan yang dirasakan ada, rupa-rupanya hanya bayang-bayang, dilihatnya ada, ditangkap hilang.

Berbeza dengan seseorang yang mengejar kejayaan menurut ukuran akhirat dan memandang akhirat itulah tempat tujuan yang kekal abadi. Kejayaan yang paling bererti buat seorang wanita yang sedemikian adalah menjadi orang yang bertaqwa. Tidak kira bidang apa pun kerjaya seorang wanita itu, atau pun dia hanyalah seorang suri rumahtangga, tetapi jikalau dia berjaya memiliki sifat taqwa bermakna dia telah berjaya membina hidupnya di dunia dan akan berjaya di akhirat. Taqwa adalah darjat atau pangkat di sisi Allah di dunia dan akhirat. Jika iman menyelamatkan manusia, taqwa adalah darjat manusia di sisi Allah. Ia lebih penting dan berharga.

Hati yang bertaqwa akan sentiasa mendorong diri agar sentiasa taat, syukur dengan pemberian Allah, redha dengan ketentuan dan sentiasa di awasi oleh Allah. Maka jika dia seorang anak, jadilah anak yang taat kepada ibu bapanya. Kalau dia seorang isteri, jadilah dia seorang isteri yang taat kepada suaminya, dan jikalau dia seorang ibu, jadilah dia ibu yang bertanggungjawab terhadap anak-anaknya. Namun lumrahnya sesuatu yang tinggi nilainya lebih susah untuk dimiliki dan sukar juga untuk mengawal iman dan taqwa di dalam diri. Ia sentiasa turun naik dan jika tidak benar-benar dikawal ia akan luntur semula.

Bukan mudah untuk mendapat sifat taqwa. Kalau setakat kuat beribadah sunat, bertahajut, zikir, wirid belum boleh lagi dikatakan bertaqwa. Itu cuma orang yang kuat beribadah. Ramai orang yang kuat beribadah.tetapi tidak dapat benar-benar mengamal syariat di dalam diri, keluarga dan masyarakat. Anak isteri tidak tutup aurat lagi. Masih terlibat dengan riba lagi, ini hanya dinamakan abid ( ahli ibadah ).

Jika kuat berderma, bersedekah dan mudah membelanjakan harta untuk Islam, belum tentu dikatakan bertaqwa. Kadang-kadang mereka pemurah dengan harta tetapi malas sembahyang dan tidak melakukan secara total perintah Allah. Mereka ini adalah munfik ( orang yang suka mendermakan harta ). Jika seseorang itu gigih berjuang, berjihad, belum juga boleh dikatakan bertaqwa kalau dia tidak berat soal syariat dan soal makan minumnya yang halal. Mereka hanya digelar mujahid.

Para ulama ul amilin telah membuat kesimpulan bahawa orang yang bertaqwa ialah orang yang memiliki semua sifat mahmudah ( sifat hati yang terpuji ) dan berjaya mengikis sifat mazmumah ( sifat hati yang jahat ). Sehubungan dengan itu, Syeikh Junaid Al Bagdadi telah berpendapat, taqwa adalah melaksanakan seluruh suruhan Allah, meninggal segala larangannya.

Untuk mendapat taqwa perlu menempuh empat langkah :
a) Bersihkan diri dari dosa sama ada berkaitan dengan makhluk dan dengan Allah.
b) Jauhkan diri dari dosa-dosa besar.
c) Bersihkan anggota dari maksiat kecil.
d) Bersihkan hati dari segala sifat mazmumah.( sifat hati yang terkeji )

Ini perlu dilakukan dengan mujahadah ( memerangi nafsu ) yang bersungguh-sungguh kerana, nafsu sentiasa memusuhi kebaikan yang ingin kita buat. Bila kita sudah melalui segala proses mendapatkan sifat taqwa dan memilikinya, barulah akan terserlah kejayaan yang sebenarnya di dalam diri. Inilah kejayaan yang hakiki yang akan menyelamatkan kita dunia dan akhirat.

Ketaqwaan sentiasa menuntut kita berbuat kebaikan kerana Allah s.w.t. Ertinya, apa yang kita buat semuanya kerana dan untuk Allah. Kalau ada kemewahan harta, dilaburkan sebahagiannya ke jalan Allah. Kalau ada anak, kita didik menjadi hamba Allah yang tawadhuk denganNya. Kalau ada kedudukan, Ilmu pengetahuan dan apa sahaja, semuanya kita gunakan kelebihan kepada diri kita untuk mengejar keredhaan Allah. Kita korban segala yang ada di dalam diri untuk kepentingan agama Allah. Semuanya itu dilakukan kerana Allah dan ikhlas. Bukan kerana dipaksa-paksa. Jalan inilah yang perlu dirintis oleh para wanita. Jiwa dan raga perlu dikorbankan, banyak airmata yang tumpah tidak mengapa, biar terkorban segala-galanya demi memiliki hati yang bertaqwa kerana di situlah letaknya erti yang sebenar kejayaan seorang wanita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...